Bagi anak perantau, pelajar atau pekerja, lambaian desa kian meruntun perasaan untuk pulang bertemu ayah, ibu dan sanak saudara di penghujung Ramadan ini, menjelang Aidilfitri.
Bagi mereka yang mempunyai kenderaan sendiri, minggu ini adalah yang terbaik untuk ke bengkel servis kenderaan, nasihat seorang penyampai radio melalui rancangan paginya, bagi memastikan kenderaan yang akan dipandu nanti dalam keadaan baik dan selesa, selain itu eloklah dirancang perjalanan bagi mengelakkan keadaan tergesa-gesa dan mengelakkan kesesakan di jalan raya.
Kira-kira 1.4 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya sehari sebelum cuti Raya iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding kepadatan trafik 700,000 hingga 800,000 kenderaan sehari pada hari biasa.
Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat dilaporkan berkata peningkatan berganda kenderaan yang menyebabkan jalan padat dan sesak akan mengundang pelbagai kerenah, sikap dan masalah pemandu, yang boleh membawa risiko kemalangan jalan raya.
PENGANGKUTAN AWAM
Mereka yang memilih pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, tentunya awal-awal lagi telah membeli tiket. Ramai juga yang suka membeli di saat-saat akhir dan bersesak di kaunter tiket.
Yang masih tidak mahu berputih mata akan termakan umpan "ulat tiket" yang berkeliaran mencari mangsa dengan jualan tiket lebih mahal, dan jika nasib tidak baik wang lesap, bas tidak datang.
Kerajaan telah membenarkan syarikat bas ekspres mengambil bas tambahan bagi mengelakkan orang ramai kempunan untuk balik kampung.
|